Pengerusi Jawatankuasa Perumahan & Kerajaan Tempatan, Kerjaraya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, YB Dato’ Ir Phahrorazi Zawawi berkata ketika ditemui di pejabatnya, orang ramai masih belum memahami cara yang betul pembuangan sampah dan mengakibatkan longgokan sampah di tempat pembuangan sampah.


BELAJAR KENAL WARNA TONG KITA SEMULA
“Kita menghadapi masalah bila orang ramai menggunakan tempat pembuangan sampah untuk membuang barang-barang tidak terpakai seperti tilam-tilam, bantal dan perabut-perabut. Selain itu rumput dan ranting-ranting pokok juga diletakkan bersama dengan sampah-sampah biasa.

“Sepatutnya sampah domestik (sampah sisa dapur, makanan dan lain-lain) diletakkan dalam bungkusan yang berasingan dengan botol-botol atau barangan kaca,” ujarnya.

Menurutnya lagi, barangan selain dari sisa-sisa makanan akan dikutip seminggu sekali dan apabila orang ramai mencampur aduk benda-benda terbabit maka berlakulah masalah pengutipan kepada pihak yang bertanggungjawab.

“Sampah di tempat pengumpulan sampah akan dikutip setiap hari dan dalam kawasan taman perumahan tiga kali seminggu. Yang lain macam rumput, tilam, bantal, botol-botol mereka kutip seminggu sekali sahaja tapi apabila dicampuradukkan akan menimbulkan masalah kepada pekerja dan sekaligus akan terjadi longgokan di tempat-tempat pembuangan sampah.

“Kita juga menerima rungutan, tong-tong tidak digunakan, sampah dicampak berselerakan di tepi-tepi jalan. Maknanya orang ramai tidak membuang sampah ke tempat yang disediakan tapi membuang sesuka hati. Maka secara tidak lansung, kelihatan seperti limpahan sampah yang tidak dikutip berhari-hari,” tambahnya lagi.

Beliau berkata, tong-tong sampah akan ditambah walau pun sebelum ini telah pun ditambah sebanyak 100 buah. Sementara bilangan lori-lori sampah juga telah ditambah.

Pihak Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) juga telah menjalankan penguatkuasaan terhadap orang ramai yang membuang sampah merata-rata tempat dan kompaun akan dikenakan mengikut kesalahan yang mereka lakukan.