PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan memaklumkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 sudah mula diagihkan kepada penerima mulai 19 Oktober lalu.
Bayaran itu dibuat awal seminggu berbanding tarikh sebenar agihan iaitu pada 26 Oktober ini.
Menerusi kenyataan akhbar hari ini, Kementerian Kewangan berkata, pembayaran BPN 2.0 fasa pertama dapat dipercepatkan ekoran komitmen usaha pegawai-pegawai Kementerian, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dan institusi kewangan terbabit.
Menurutnya, pembayaran sedang dibuat secara berperingkat dengan mengutamakan golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).
“Pembayaran sudah bermula pada 19 Oktober lalu membabitkan 7.5 juta penerima, iaitu 3.7 juta penerima kategori isi rumah dan 3.8 juta penerima kategori bujang.
“Pihak Kerajaan amat peka dan prihatin dengan kesukaran yang dialami oleh rakyat pada ketika ini,” katanya.
Katanya, bagi golongan berpendapatan sederhana (M40) pula, ia membabitkan seramai 3.1 juta penerima, iaitu 1.4 juta penerima kategori isi rumah dan 1.7 juta penerima kategori bujang yang mana ia sudah diagihkan mulai 22 Oktober lalu.
Jelasnya lagi, proses pengkreditan bayaran BPN 2.0 ini akan berterusan dan dijangka diselesaikan sebelum hujung bulan Oktober.
Selain itu, katanya, bagi penerima BPN yang tidak mempunyai akaun bank, mereka boleh membuat penunaian di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 26 Oktober ini.
“Manakala penerima yang didapati gagal kredit pula akan dapat membuat penunaian mulai minggu kedua November depan.
“Memandangkan terdapat beberapa negeri yang sedang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pihak BSN akan mengeluarkan panduan prosedur operasi standard (SOP) dari semasa ke semasa bagi menjaga kesihatan dan keselamatan penerima.
“Kerajaan juga ingin mengingatkan bahawa tempoh permohonan baharu BPN 2.0 masih dibuka sehingga 15 November 2020 depan. Bagi mereka yang diluluskan, bayaran akan dibuat secara sekali gus pada bulan Januari 2021,” katanya.
Sumber Artikel: Kosmo
0 Comments