ALOR SETAR: Semua masjid dan surau di Kedah hanya dibuka satu jam sebelum solat fardu manakala satu jam setengah sebelum solat Jumaat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula esok.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), Mohd Yusri Md Daud, berkata aktiviti keagamaan di masjid dan surau di negeri Kedah dibenarkan ketika PKPB sehingga 6 Disember ini.

Katanya, bagi solat fardu dan Jumaat di zon hijau dan kuning, jumlah jemaah yang dibenarkan adalah berdasarkan keluasan ruang utama masjid dan surau dengan menjaga penjarakan fizikal minimum satu meter.

"Bagi jemaah di Zon Merah, seramai 40 orang dibenarkan menunaikan solat Jumaat (tidak termasuk pegawai dan jawatankuasa) dan maksimum 12 orang bagi solat fardu termasuk pegawai dan jawatankuasa masjid.

"Pihak masjid dan surau perlu menyediakan kaunter pemeriksaan, alat pengukur suhu, cecair sanitasi, buku log kehadiran dan penanda kedudukan antara jemaah, jemaah yang mempunyai simptom seperti demam, sesak nafas dan sakit tekak, mereka tidak dibenarkan masuk," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Yusri, berkata jemaah yang tidak membawa sejadah sendiri dan jemaah yang berumur 12 tahun ke bawah juga tidak dibenarkan masuk ke masjid dan surau.

Katanya, kaunter pemeriksaan suhu dan pintu pagar utama masjid dan surau hendaklah ditutup apabila azan berkumandang.

"Setelah selesai menunaikan solat pihak pengurusan perlu terus menutup masjid dan surau serta jemaah tidak dibenarkan berkumpul sama ada di dalam atau luar kawasan masjid dan surau.

"Selain itu, program keagamaan dan majlis ilmu seperti ceramah, kuliah, kelas agama dan tazkirah adalah dibenarkan dan tidak melebihi 30 minit dengan mematuhi norma baharu dan protokol kesihatan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,"katanya.

Sementara itu, Mohd Yusri berkata, aktiviti pengurusan jenazah di masjid yang tidak membabitkan COVID-19 dibenarkan dan solat jenazah hanya terhad kepada pegawai, jawatankuasa masjid dan ahli keluarga sahaja.

"Semua institusi masjid dan surau serta anak kariah di negeri ini diminta untuk mematuhi arahan pelaksanaan aktiviti keagamaan di masjid dan surau dalam tempoh PKPB ini.

"Jiks gagal untuk mematuhi arahan yang dikeluarkan, tindakan dan kebenaran melaksanakan aktiviti keagamaan boleh ditarik serta merta," katanya.

Sumber: BeritaHarian